Saturday, June 14, 2014

Just Me





Bismillah, dengan namaNya aku terus melangkah.

9 Jun 1991

Tarikh keramat yang paling bermakna dalam hidupku.

Tarikh dimana seorang insan lemah dilahirkan oleh seorang insan hebat. Ibuku seorang insan hebat yang mampu melahirkan bahkan mendidik dengan didikan agama yang baik untuk 4 permata hatinya.

Dan kini insan lemah itu sudah menjangkau usia 23 tahun. Pelbagai mehnah kehidupan yang dilaluinya sepanjang 23 tahun pinjaman kehidupan.

9 Jun 2014

Sekali lagi mencatat coretan hidup yang paling penting buat insan lemah ini. Tanpa ada perancangan. Dia dikurniakan rezeki melangkah ke alam baru. Dunia pekerjaan yang lebih mencabar.

Ya Allah.

Aku hanya mengatur langkahku dengan keterbatasan diriku sebagai hambaMu. Namun Kau mengatur langkahku dengan kesempurnaanMu. Tiada nikmat paling patut aku hargai melainkan rasa syukurku padaMu.

Dia yang mengatur langkah ini. Walau kaki lemah pada awalnya ingin meneruskan langkah. Namun, Dia hadiahkan kekuatan tanpa diduga.

Hebat kasih sayang Allah pada hambaNya.
Tinggal lagi kita, mahu bersyukur ataupun tidak.

Dia hadiahkan kita dengan pelbagai bentuk hadiah. Kita pula bagaimana?

Dalam pada diri ini melangkah satu persatu anak tangga. Di sepanjang tingkatan tangga yang ku lalui. Aku dipertemukan dengan pelbagai jenis cerita insan.

Mereka mendapatkan ku untuk mendengar luahan atas kepayahan hidup mereka. Sehingga aku sendiri bertanya padaNya.

" Wahai Allah,

Sedang Kau tahu bahawa diriku punya kepayahan hidup yang masih belum selesai, mengapa tetap Kau hadirkan insan-insan ini untukku. Apa sebenarnya didikan yang ingin Kau hadiahkan buatku. "

Seorang mengadu masalah kehidupannya yang terumbang-ambing. Tak pernah merasa bahagia. Hanya derita.

Seorang mengadu tentang masalah percintaan yang dikecewakan.

Seorang mengadu tentang masalah kehendak ibu bapa yang perlu dituruti walau hati tidak berkehendak.

Perananku..
Hanya menjadi pendengar yang setia mendengar luahan mereka.
Berkongsi permata-permata kata buat penyejuk dan pendamai jiwa.

Setelah lewat malam..
Memenungkan diri sendiri..

Sambil memandang langit gelap..
Berfikir...

Allah memang sengaja hadirkan buatku insan-insan istimewa ini.
Bukan untuk memujuk hati mereka semata...
Bahkan untuk memujuk dan mendamaikan hatiku sendiri.

Setiap kali mendengar luahan hati mereka.
Setiap kali itu juga, aku kembali mengingati diriku sendiri.

Setiap kali aku berkongsi penawar hati buat mereka.
Setiap kali itu juga, aku campakkan penawar itu buat diriku sendiri.

Hakikat kehidupan
Memang payah.
Payah untuk memahami rentak hidup yang pelbagai.

Namun,
Dengan menyelami rentak hidup insan lain.
Aku mampu memahami mesej sebenar yang ingin Dia layangkan buat diriku.


- hamba Dhaif-
     Solehah

Thursday, January 23, 2014

Fiqh di hati.

Assalamualaikum. Moga semua dalam redha Allah. 

Pantas masa berlalu, kini aku telah pun berada di penghujung pintu terakhir sebelum melangkah ke pintu baru di hadapan sana. Segala pengalaman sepanjang degree telah dibuku kemas untuk diguna pakai dalam mengharungi laluan seterusnya yang masih tidak pasti bagaimana rupa bentuknya, warnanya. Apa yang pasti, laluan seterusnya semakin mencabar dari apa yang pernah aku lalui.

Blog ini kesunyian tanpa entry yang tak diisi lama disebabkan kekangan masa yang sangat menghimpit. Alhamdulillah, beberapa bulan yang berkemungkinan besarnya, ruang dan waktu boleh diluangkan untuk meraikan hobi diri sendiri sehingga masih lagi menyimpan hasrat untuk menjadi seorang penulis yang hanya boleh menjadi mimpi-mimpi indah sahaja buat masa ini. Moga Allah bukakan jalan ke arah itu. Ameen.

Entry kali ini, sebagai pembuka bicara setelah sekian lama menyepi. Naluri terpanggil untuk menceritakan tentang sesuatu yang diri ini sangat cintai iaitu ilmu Fiqh. 

Setelah 4 tahun mendalami ilmu Fiqh, ternyata ilmu Fiqh ini adalah suatu ilmu yang sangat dekat dan hampir dengan manusia dalam apa jua keadaan dan situasi. Segala tindak tanduk kita seolah diawasi dengan ilmu Fiqh. Ilmu ini ternyata hidup dimana-mana dan sentiasa berkembang mengikut zaman. 

Cuba kita lihat kembali, bagaimana Rasulullah s.a.w yang mula memperkenalkan Islam dalam masyarakat Islam di Mekkah. Di Mekkah, Rasulullah banyak menekankan soal akidah umat. Manakala ilmu Fiqh ini terus berkembang di Madinah, bilamana Rasulullah mula lebih menekankan soal ibadat dan sebagainya. Dan ilmu Fiqh ini terus berkembang dari satu zaman ke satu zaman sehingga zaman kini. Ilmu ini menjadi satu perkara yang sangat penting malah dekat dengan kehidupan harian dalam setiap manusia yang bergelar Muslim. Tanpa Fiqh seorang Muslim itu tidak akan mampu berdiri dengan tegak, tidak mampu berjalan dengan lurus bahkan tidak akan mampu untuk hidup sebagai Muslim yang sebenar.

Sekadar nak menyampaikan rasa syukur padaNya diberi kesempatan untuk mendalami dan menghayati indahnya ilmu ini. Teringat nostalgia dahulu ketika ditawarkan program Fiqh Dan Fatwa. Ramai sahabat yang bertanya.

" Solehah dapat course apa?"

" Fiqh Dan Fatwa "

" Oo. Hemm. Tak pernah dengar lagi course tu. Macam pelik je bunyi nya. hehe"

=========================

" Solehah ambil course Fiqh Fatwa ya? "

" A'a "

" Oo. Susah tu. Kenapa tak ambil macam kawan-kawan yang lain. Quran Sunnah ke."



==========================

" Solehah kenapa ambil Fiqh Fatwa?"

" Kenapa ya?"

" Nanti nak kerja apa? kenapa tak ambil pendidikan ke? masuk maktab ke? senang, confirm-confirm dah ada kerja, jadi guru."

===========================

" Course Fiqh Fatwa? "

" A'a, saya ambil course tu."

" Nanti boleh dapat kerja ke ambil course tu? Boleh berkembang ke? "

==============================


Kalau mereka terlalu pelik, risau dengan course yang saya ambil. Saya lagi pelik dan risau dengan 'kepelikkan' mereka. 

Waktu itu seolah saya bersendirian membuka mata kecil saya untuk melihat betapa luasnya ilmu ini. Ketika itu tiada siapa disisi yang boleh duduk bersama melihat apa yang terbentang luas di hadapan saya. Mujur Ayah, Mak, Kakak dan adik-adik tidak putus-putus memberi semangat dari awal untuk saya teruskan perjuangan saya dengan apa yang saya pegang dan percaya.

Bukan soal kerja apa yang saya fikirkan. Bukan soal susah atau senang yang saya fikirkan. Tetapi soal apa yang saya boleh sumbangkan setelah saya mendalami ilmu ini. Itu yang saya fikirkan. Saya fikir dengan mendalami ilmu ini, saya mampu untuk menyumbang pada yang lain walau sedikit. 

Jika saya ambil course matematik sebagai contoh, saya mungkin tidak akan mampu untuk menyumbang apa-apa pada akhirnya, kerana saya tahu, matematik bukanlah bidang saya, bukan kemahiran saya.

Jika saya ambil course perubatan sebagai contoh, saya juga tidak akan mampu menyumbang apa-apa pada akhirnya, kerana itu bukanlah kemahiran saya.

Fiqh juga bukan kemahiran saya, tetapi Ilmu Fiqh adalah minat saya. Dari situ saya cuba mengembangkan minat saya menjadi kemahiran dan pada akhirnya saya sedar dimana sepatutnya saya berada. 

Tidak menyangka, di dalam Fiqh saya dapat mendalami ilmu science. Saya belajar sains permakanan, melihat tentang halal haram satu-satu produk makanan,perubatan,kosmetik dari pandangan ilmu sains dan ilmu Fiqh. 

Saya juga diajar untuk mendalami ilmu matematik. Saya belajar tentang faraidh, pembahagian harta pusaka yang perlukan jalan kira-kira yang sangat complicated.

Ilmu perubatan dari sudut pandang sains dan fiqh juga ada.

Ketika itu, kesedaran saya terhadap luasnya ilmu Fiqh ini dibuka luas olehNya. Saya melihat kebesaran Allah yang menciptakan ilmu yang sangat hebat ini. Namun, tika itu juga ada satu perasaan takut untuk membawa ilmu yang hebat ini untuk disumbangkan pada masyarakat yang ketandusan akan ilmu ini kerana merasa diri yang terlalu kecil dan ilmu yang masih perlu dijaga dengan berhati-hati seperti menjaga bayi yang baru dilahirkan.

Saya bukan lagi seorang yang mahir dan tidak mungkin menjadi seorang yang mahir dalam ilmu ini. Tetapi saya sedar, saya ada 'minat' pada ilmu ini. Minat yang sangat mendalam. Moga-moga Allah capaikan hasrat saya untuk membuka satu madrasah Fiqh. Jika bukan di dunia tempatnya, moga syurgalah tempatnya.

Fiqh itu sentiasa hidup selari dengan kehidupan kita mengikut masa dan tempat. Apa yang paling hampir dengan kita? Ianya Fiqh.

Sudah mula merinduinya....Moga Allah izinkan lagi untuk bertemu dengannya. Fiqh dihati.








Sunday, September 22, 2013

Bersahabat tanpa syarat

Sahabat adakala menyusahkan
Sahabat ada masanya mengecewakan
Sahabat ada waktunya sukar untuk difahami
Sahabat kadangnya menyakitkan

Namun.....

hakikatnya.....

yang baik lebih banyak berbanding yang buruk pada ketidaksempurnaan itu

Aku belajar untuk mengambilnya....

Aku belajar untuk menikmatinya...

Kerana aku yakin

Kebahagiaan itu hanya akan dapat dinikmati setelah kita berjaya menerima ketidaksempurnaan seseorang itu, dan menikmati baiknya yang ada pada dirinya yang lebih banyak berbanding buruknya.






Dalam bersahabat...

Allah mengajar kita untuk ikhlas.






Dalam bersahabat 

Allah mengajar untuk kenal erti pengorbanan







Paling rendah....

Kebaikan yang kita dapat

ingin juga dimiliki sahabat...

mersai bersama..





paling tinggi...

kita inginkan kebaikan buat mereka

walaupun kebaikan itu perlu dikorbankan buat mereka..






Dalam bersahabat..

sentiasa merasa diri yang paling jahil

sentiasa merasa diri yang paling banyak buat silap



ikhlas dalam bersahabat itu nak dipupuk bukan mudah..

lebih baik merasa diri yang terhina

dibanding memandang hina pada sahabat.













apa jua watak mereka...

apa jua lahjah atau loghat mereka...

mereka tetap insan yang pernah hidup dalam sejarah kehidupanku di dunia...

pasti bertemu di sana....

pertemuan ini pasti akan ada perpisahannya..

namun, pastikan kita akan dipertemukan di Jannah kelak..

meski cara kita berbeza...

tetapi hala tuju kita serupa...

belajarlah untuk bersahabat tanpa syarat.......^_^
















Wednesday, June 12, 2013

Chips more sudah lemau

Assalamualaikum semua......(n_n )y

==================================================================

Alhamdulillah, selesai menjawab satu paper today. Release sekejap. Layan blog mat lutfi. Macam-macam. Kejap tersenyum, kejap ketawa. Kejap muka jadi serious, sebab kadang tak faham juga bahasa dia...

Lepas layan beberapa entry , tunaikan kewajipan sebagai seorang muslim. Solat. Then, pergi ke dapur, mencari-cari sesuatu buat perut yang memekik kelaparan.

LAPARRRRR.....LAPARRRR....LAPARRRRRRRRRR...

Adat selepas exam. Walaupun telah diisi dengan sepinggan nasi berlaukkan kari ayam. Ditambah pula hidangan ayam goreng.

Alhamdulillah...Nikmatnya..

Nikmat dunia yang sementara hilang selepas segala yang disimpan beberapa hari di dalam kepala dicurahkan bagaikan mencurah air ke daun kel......

err..cam x sesuai je peribahasa tu..hee..abaikan..

Akhirnya...teringat akan biskut chips more yang dibeli beberapa hari yang lepas. Hati penuh girang. Memegang chips more comel di tangan.

Chips more yang bersuara.....^^


Mulut dibuka luas memainkan peranan. Gigi pula bersedia untuk menghadam chips more yang crunchy tu. Tapi.....setelah dikunyah.. crunchy itu hanyalah bayangan semata. Chips more sudah lemau !

Kecewa.....

Tapi mulut tetap terus mengunyah kerana memikirkan tidak mahu bersahabat dengan syaitan. Kawan-kawan yang lain pun tetap setia mengunyah walaupun biskut sudah lemau.Baguskan diorang. :)

hakikatnya sume sudah kelaparan...jadi hadam je apa yang ada di depan mata....

Bila ku lihat kembali, ikatan yang tidak kuat itu rupanya punca biskut itu menjadi lemau.

Hemm...Silap diri sendiri. Pandanlah muka...(=  = )

Makan dan terus makan.

Di dalam kepala ligat memikirkan sesuatu.

" Kalau biskut boleh lemau kerana aku ikat tak kuat"

Diam sekejap. Memikirkan sesuatu.

" Sama juga lah kan, ilmu yang aku ada sekarang boleh jadi lemau, kalau aku tak ikat kuat-kuat "

Kata-kata yang selalu dipesan oleh guru-guru dan kawan-kawan suatu ketika dahulu melintasi...


" العلم في الصدور وليس في السطور "

" Ilmu itu di dada bukan di kertas "

Ok, faham dah.Terima kasih Allah, untuk lintasan ini. bagus juga makan chips more lemau ni..hee

Jadi lepas ni solehah kena betulkan niat ye. Ilmu tu biar melekat di dada. Bukan untuk exam je.Supaya esok-esok hari ilmu tu tak lemau macam biskut chips more ni.

============================================================

Good Luck untuk sume yang sedang striving for exam. Fighting !











Wednesday, May 29, 2013

H.O.P.E

Assalamualaikum w.b.t, Moga semua sahabat yang sedang membaca entri saya kali ini sedang tersenyum dalam membina harapan-harapan indah. Jangan pernah lelah mengharap sesuatu yang baik, kerana Allah tidak pernah lelah memberi harapan pada hamba-hambaNya.

====================================================================

Selalu ada harapan untuk mereka yang tidak pernah berhenti berharap


Tiada insan yang tidak pernah mengukir harapan. Setiap insan pasti pernah mencipta harapan. Bahkan kanak-kanak yang seakan tidak mengerti apa juga pernah mengukir harapan. 


Kanak-kanak mengharap lego yang dibina tidak jatuh


Apatah lagi kita yang sudah dewasa, pasti lebih banyak harapan yang  diukir. Tiada orang yang pernah mengharap sesuatu yang tidak baik. Bila berkata....

" Saya berharap.....

Pastinya yang diharapkan adalah sesuatu yang baik. 


BOSAN BERHARAP

Baru sahaja tadi lecturer Fiqh Qada' kami, Ustaz Asming menceritakan pengalamannya ketika dia diuji kehilangan dompet ketika dia sedang bermusafir ke kedah kerana ingin menguruskan pelajar latihan industri.

Ustaz dan isteri bersama anak-anaknya terpaksa berlapar seharian, kerana tiada wang yang dapat digunakan untuk membeli makanan. Bertambah pula diuji dengan minyak kereta yang semakin berkurang. Tol dihadapan yang perlu dilepasi. Ustaz terpaksa meminta bantuan sambil mengharap agar ada bantuan Allah yang Allah hadirkan melalui manusia. Alhamdulillah, walaupun sedikit sahaja bantuan yang ada, tetapi Ustaz bersyukur dengan yang sedikit itu. Dengan takdir Allah,dalam kesesakan, Ustaz mendapat bantuan yang lebih daripada apa yang ustaz harapkan.

Benarlah.....

Selagi ada Allah di dalam hati, selagi itu ada harapan buat kita.



Jangan pernah bosan berharap. Kerana Allah tidak pernah bosan memberi harapan pada hamba-hambaNya. 

Ketika kita diuji dengan pelbagai bentuk ujian....

Cepat sahaja kita melatah...

" Ah.....aku sudah tiada harapan lagi.."

" Ini tidak adil...kenapa aku yang diuji..? Kenapa aku tidak pernah di beri harapan?"

Sedangkan Allah tidak pernah berhenti memberi harapan pada hambanNya yang tersilap langkah. Tetapi Allah pula yang dipersalahkan. 

Kita kadang berasa kita tiada harapan lagi. Tetapi sebenarnya, kitalah punca harapan itu menjadi tiada.

Harapan sentiasa sahaja ada buat mereka yang tidak pernah berhenti berharap.

Allah menguji kita, kekadang ada sahaja yang kita harapkan tidak pula kita dapati. Kekadang ada sahaja yang kita tidak pernah mengharap, itu pula yang kita dapati.

Ya...Allah sengaja menguji kita begitu.

Kerana Allah ingin melihat sejauh mana kebergantungan kita padaNya. Sejauh mana harapan kita padaNya. Sejauh mana keyakinan kita padaNya. Sejauh mana rasa syukur kita padaNya.

Jika kita mengharapkan sesuatu dengan niat kerana Allah semata, pastinya kita tidak akan sedih mahupun duka, sekiranya apa yang kita  dapat tidak seperti yang kita harapkan. Kerana kita yakin, apa yang Allah berikan, semuanya itu yang terbaik untuk kita.

Kadang kita merasakan, inilah yang terbaik. Tetapi siapalah kita untuk merasakan apa yang kita harapkan itu yang terbaik. Kita hanya mampu berharap, agar harapan kita mampu menjadi sesuatu yang terbaik di sisi Allah. Kerana pada akhirnya, Allah jugalah penentu harapan kita menjadi kenyataan mahupun tidak.

HARAPAN UNTUK SEMUA ORANG

Dalam medan dakwah, selalu sahaja dipertemukan dengan insan-insan yang pernah ketika dahulu lari dari persimpangan yang benar.

Namun, kerana kesedaran yang ada, kembali mencari sinar harapan pada insan-insan yang diharapkan mampu memberi. 

Pun begitu, tetap sukar bagi mereka untuk mencari kembali sinar harapan itu kerana kebodohan bijak pandai dalam memberi dan mengajak.

Ketika mereka mencari...mengapa kalian lari.....???

Ketika mereka memerlukan....mengapa kalian mengetepikan...???

Ketika mereka berharap....mengapa pintu harapan buat mereka kalian tutup???

Inikah namanya dakwah...?

Sedangkan Allah tidak pernah menutup pintu harapan buat hambaNya yang ingin kembali, Siapa pula kita ingin menutupnya.

Malu dengan Allah, kerana kebodohan inilah yang menjadi fitnah buat agama Allah yang indah ini.

Harapan itu untuk semua orang. Harapan tidak dicipta untuk orang yang bijak. Harapan tidak dicipta untuk orang yang beragama. Harapan dicipta untuk mereka yang masih ingin mencipta harapan. 

Manusia mungkin kekadang memberi harapan palsu. Tetapi Allah, tidak mungkin memberi harapan palsu pada hambaNya. 

Kerana itu, selagi mana dirimu berharap, berharaplah kerana Allah. Berharaplah untuknya. Kerana hanya Dia yang mampu menjadikan harapan itu bukan sekadar harapan. 


There is always HOPE


================================================

Dan aku yang bernama manusia, tidak akan pernah berhenti berharap agar setiap harapan ku sebagaimana dalam perancangan dan kehendakMu Ya Allah.

=================================================

Let's enjoy this video..Hopefully, ade something yang manfaat yang boleh dapat by watching this video...^^















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...