Monday, September 3, 2012

..::Fatwa Hatiku::..




Assalamualaikum w.b.t. Moga semua dalam erat dakapan kasih sayang Allah.

========================================================

Alhamdulillah, Setelah mengadu, merintih pada Pencipta terbaik ku. Kepadanya aku merintih mohon ditunjukkan jalan terbaik supaya aturan hidupku senantiasa dalam penjagaan dan belaian kasih sayangNya. Moga walau setitis zahrah sekalipun dalam setiap tindak tandukku di nilai olehNya dengan pandangan kasih dari Pencipta yang mencipta. Tidak lagi mengharap pandangan manusia yang sementara cuma.

Sungguh untuk mendapatkan fatwa hati itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Lama membiarkan diri, sehingga benar-benar bersedia meminta padaNya untuk tetapkan fatwa hati ini.

Suatu hari, pernah saya mendengarkan satu soalan oleh seorang mahasiswi UIAM di dalam rancangan madrasah akhlak di tv Al-Hijrah. MasyaAllah, satu media yang dipenuhi dengan jutaan manfaat. Beruntunglah bagi mereka yang menggunakan sebaik-baiknya, rugilah bagi mereka yang mensia-siakannya.

"Ustaz, pernah suatu ketika saya mendengar daripada seorang ustazah. Setiap apa yang kita lakukan perlulah berpandu kepada gerakan hati. Benarkah ustaz begitu? Apa komen ustaz?"

Semacam itulah soalan yang dilontarkan oleh mahasiswi itu. Komen ustaz...

" Ya, setiap perkara itu memang perlu bergantung kepada hati. Tapi, AWAS hati yang bagaimana?...kita perlu kenal pasti hati kita. Bagaimana kita mahu berpandukan dengan hati yang rosak atau hati yang sakit. Peringkat hati itu ada tiga, HATI YANG HIDUP, HATI YANG SAKIT dan HATI YANG MATI. Jadi tugas kita untuk sentiasa perbaiki tingkatan hati kita supaya hati kita sentiasa di level yang pertama iaitu HATI YANG HIDUP."

Kata-kata ustaz membuatkan minda berfikir. Di manakah tingkatan hatiku saat ini. Bagaimana mungkin ku pandukan fatwa hatiku untuk pinta padaNya kepastian jalan terbaik.

Tidak mungkin aku berpandu dengan hatiku yang penuh dengan maksiat ini untuk pinta fatwa yang jelas.

Langkah mula dicipta. Bingkas bangun dari lena. Air wudu' membasahi wajah bakal menghadap Illahi, diikuti tangan yang bakal berbicara di akhirat kelak, diikuti kepala yang sentiasa menunduk menghadapNya ketika sujud, juga telingaku yang sering mendengar kata-kata dunia yang dusta, disudahi dengan basahan kaki yang menentukan destinasi ku selepas ini.

Air wudu' yang menenangkan hati, mengerakkan hati dan seluruh anggota badan menuju menghadapNya. Pinta Allah tunjukkan fatwa hatiku yang tepat. Tidak pernah merasai sayu begini rupa. Di hadapan Allah, ku pinta penjelasan.

Setelah selesai, ku berfikir sendirian. Nak mendapatkan fatwa hati yang tenang pun tidak mudah apatah lagi mahu dapatkan fatwa hati yang tepat. Mungkin Allah tidak akan memberi sesuatu yang tepat pada kita kerana Allah mahu kita hargai akal yang dikurniakan istimewa buat manusia. Allah pinta kita untuk fikir dan dalam masa yang sama zikir mengingatiNya.

Alhamdulillah, setelah beberapa hari pinta Allah tunjukkan fatwa hati, sedikit demi sedikit dibukakan jalannya. Sebuah buku yang telah lama emak membelinya tidak pernah ada rasa untuk membacanya kerana kurang bersedia barang kali. Tangan mula membelek-belek buku-buku yang tersusun di perpustakaan mini ciptaan ayah. Lalu menggapai sebuah buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Alhamdulillah, semuanya di situ. Persoalan hati yang berselirat terjawab dengan tenang hasil bacaan tulisan Ustaz Hasrizal.  Selembar demi selembar saya belek. Ternyata buku itu sungguh mengenyangkan emosi dan fikiran saya.

Pernah membaca status kak Fatimah Syarha juga penulis kegemaran saya..

" Jawapan yang tepat itu adalah hati yang tenang apabila menerimanya"

 MasyaAllah, kata-kata kak Fatimah Syarha memang benar. Itulah yang dapat dirasai.

Sebagai penutup bicara. Ingin berkongsi sedikit kata-kata Ustaz Hasrizal daripada buku yang mengenyangkan emosi dan fikiran saya...

" Jangan memandang sesuatu dengan pandangan mata yang kering, atau pandangan akal yang gersang, jauh sekali dengan pandangan nafsu yang melulu. Pandanglah sesuatu dengan pandangan hati, kerana hati itulah yang memberi makna kepada perjalanan kehidupan kita." 

Alhamdulillah...itulah fatwa hatiku..^_^

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...