" Apakah sudah dikira bertunang apabila lelaki menyatakan hasratnya untuk menjadi suami dan bernikah dengan seorang perempuan melalui teknologi sekarang seperti telefon bimbit ataupun Internet? Saya musykil tentang perkara ini kerana ramai sahabat menyatakan mereka sudah bertunang hanya melalui panggilan telefon atau SMS."
Soalan ini saya petik daripada majalah Solusi slot remaja. soalan ini diajukan kepada ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Dan ingin saya kongsikan pendapat beliau kepada sahabat-sahabat bagi mereka yang tidak berkesempatan lagi membaca solusi isu no.34.
Dalam hal sebegini, ianya tidak akan dikira bertunang selagi tidak ada kata persetujuan dari pihak satu lagi. Andaipun sudah ada persetujuan, ianya juga melihat kepada penerimaan pihak perempuan itu. Adakah perempuan itu sebulat hati menerima ataupun masih berbelah bahagi.Jika sebulat hati dia menyatakan persetujuan, barulah kedua-dua pihak ini dikira telah berjanji untuk berkahwin ataupun disebut bertunang.
JANGAN MEMBELAKANGKAN IBU BAPA
Namun, alangkah beradabnya jika bertunang melibatkan komitmen keluarga. Bukan itu sahaja, bahkan digalakkan menggunakan khidmat orang tengah dan memuliakan wali dalam urusan. Akhlak Islam pula memuliakan ibu bapa dan menghormati keluarga. Tidak kira sama ada mereka berbuat baik atau tidak kepada kita, kita tetap perlu berakhlak mulia terhadap mereka kerana ia perintah Allah. Maka dalam setiap perkara yang ingin kita lakukan, jangan pernah kebelakangkan ibu bapa. Apatah lagi dalam urusan-urusan yang penting dalam kehidupan kita.
PEMINANGAN YANG MENGIKUT SUNNAH
Peminangan yang berkat kepada seorang gadis adalah sebagaimana yang mengikut sunnah iaitu dengan memuliakan hak wali. Praktikalnya, ia bermaksud menyatakan hasrat melalui perantaraan wali atau dalam pengetahuan wali.
Mari kita telusuri beberapa praktikaliti yang dipraktikan oleh Rasulullah s.a.w dalam meminang seseorang.
Rasulullah s.a.w ingin menikahi Aisyah r.ha.,Rasulullah menyatakan hasratnya itu kepada bapa Aisyah, Abu Bakar al-Siddiq. Keelokan peribadi dan besarnya potensi Aisyah diketahui dan dikenali melalui orang tengah iaitu Khawlah binti Hakim, bukan melalui berkaan-kawan dengan Aisyah r.ha. sendiri.
Manakala dalam peminangan terhadap janda, Rasulullah s.a. banyak menggunakan khidmat orang tengah dan merujuk walinya sendiri. Namun, Baginda juga pernah menyatakan hasratnya secara langsung kepada calon tersebut seperti pinangan Baginda terhadap Ummu Hani' binti Abi Talib. Walau bagaimanapun, pinangan Baginda ditolak.
DASAR DAN HUKUM PEMINANGAN
Daripada al-Mughirah r.a, sesungguhnya dia pernah meminang seorang perempuan, lalu Nabi s.a.w. bersabda kepadanya (yang bermaksud) : "Lihatlah perempuan itu dahulu kerana sesungguhnya melihat itu lebih cepat membawa kepada kekalnya cinta antara kedua-duanya."(Riwayat al-Nasa'i dan al-Tirmizi)
Wali tidak boleh memaksa tetapi dia boleh mencadangkan calon yang baik kepada puterinya seperti Nabi Shua'ib yang berkenan kepada Nabi Musa sebagai calon menantu.
Suatu kisah yang diriwayatkan dalam sebuah hadis. Daripada Abdullah bin Buraidah daripada Aisyah bahawa seorang wanita pergi menemui Aisyah. Beliau berkata kepadanya: Bapaku telah mengahwinkan aku dengan anak saudaranya untuk menghilangkan kehinaannya sedangkan aku tidak mmenyukainya." Maka Sayidatina Aisyah berkata: "Duduklah sehingga Rasulullah datang".
Setelah Rasulullah s.a.w datang, Aisyah memberitahu Baginda lalu Rasulullah s.a.w. mengutus seseorang kepada bapa wanita itu dan menjemputnya datang. Rasulullah memberikan hak membuat keputusan kepada wanita itu. Wanita itu berkata:
"Wahai Rasulullah! Saya telah redha dengan apa yang dilakukan oleh bapaku, tetapi saya cuma ingin mengetahui, adakah ada hak
bagi wanita untuk membuat ketetapan?"
Dalam riwayat yang lain: "Saya inginkan kaum wanita mengerti bahawa bukan bapa yang berhak untuk membuat ketetapan." (Riwayat An-Nasa'i)
NASIHAT DARI USTAZAH FATIMAH SYARHA BUAT REMAJA
Buat para remaja, muliakan ibu bapamu. raikan ibu bapa si dia. dahulukan mereka dalam urusan peminangan dan pertunangan. InsyaAllah, urusanmu ini lebih berkat dan mengikat. Moga keberkatannya berpanjangan sepanjang alam perkahwinan pula. Ingatlah, sesungguhnya sukar mencari bahagia tanpa restu orang tua.
>>>>>>>.....................................<<<<<<<
InshaAllah, dengan sedikit ilmu ini dapat kita ambil sebagai penyelesaian kepada persoalan yang sering menjadi kekeliruan sahabat-sahabat. Juga buat diri saya yang dahulunya pernah jua keliru tentang mesalah ini, namun dengan penerangn ustazah Fatimah Syarha ini , Alhamdulillah kekeliruan yang sudah lama kabur kini telah mampu hilang 100% daripada benak pemikiran saya.Moga terselit manfaat untuk saya dan sahabat-sahabat dengan perkongsian yang sederhana ini.
No comments:
Post a Comment