Sunday, October 21, 2012

..::Suara Hati Ibu::..

Assalamualaikum w.b.t. Ya Allah, redhoilah sahabat-sahabat yang sedang membaca entri ini yang tidak jemu  mencari dan mendalami ilmuMu demi mengharap redhoMu . Jadikan mereka ini anak-anak yang soleh dan solehah dan pertemukan kami di syurgaMu sebagai anak-anak yang soleh dan solehah.

===========================================



"Sebelum dirimu ada, ibu sentiasa berdoa kepada Ilahi agar kebahagiaan ibu dan ayahmu sentiasa diredhoi dan agar zuriat yang diperoleh nanti, soleh dan solehah semuanya."

Inilah bisikan hati seorang ibu yang seringkali tidak mampu diungkap zahir oleh seorang ibu. Bisikan hati seorang ibu yang sentiasa mengharapkan dikurniakan Allah zuriat yang soleh dan solehah. Tiada seorang ibu yang mahu dikurniakan anak yang tidak soleh dan solehah. Semua ibu, lumrahnya dan fitrahnya mengharapkan yang sama. Hatta seorang ibu yang melahirkan anak dalam keadaan tidak diredhoi Allah sekalipun mengharapkan zuriatnya baik-baik belaka. Hakikat dan fitrah kehidupan, tiap insan itu semuanya sukakan kepada sesuatu yang baik.



Pengalaman sendiri dipertemukan dengan seorang adik yang diuji dengan pengalaman yang tidak pernah diimpikan oleh mana-mana pasangan yang beriman kepada Allah. Kini sudah bergelar seorang ibu dan juga isteri. Alhamdulillah. Meskipun anaknya itu dilahirkan diluar alam pernikahan, adik ini selamat diijab qobulkan bersama dengan lelaki yang juga bersedia untuk bertanggungjawab atas perbuatan relanya bersama.

Meskipun mukoddimah rumah tangga pasangan ini bermula dengan mukoddimah yang jauh  dari  landasan syariat, namun kini pasangan ini cuba untuk memperbaiki diri untuk membina rumah tangga mereka mengikut aturan Islam, meskipun masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Apa yang menjadikan saya tertarik melihat adik ini yang sudah pun bergelar ibu, dia amat menyayangi anaknya kini walaupun pada ketika si ibu kecil ini sedang sarat mengandungkan anaknya, seringkali kedengaran dengusan dan ungutan kebencian yang bersarang di dada. Barangkali bayangan silam yang menjerut kebencian di hati masih terngiang-ngiang oleh si ibu kecil ini.



Kini, setelah bayi comel itu selamat di lahirkan dalam keadaan yang baik, ibu kecil ini sangat menyayangi anaknya. Jelas tampak di wajahnya meski mudanya lebih berbanding saya, tetapi pancaran kematangan seorang ibu itu tampak terserlah. Itulah hebatnya kasih sayang seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu itulah yang membentuk peribadi seorang insan baru yang baru mahu mengenal dunia.

PESANAN IBU

"Ingat! jaga waktu remaja kamu. Jangan sia-siakan remaja kamu."

Itulah pesanan mak. Seringkali mak ingatkan buat anak-anaknya yang sering terlupa. 

" Bukan mudah mahu membentuk seorang anak menjadi manusia, nanti kamu dah jadi ibu, kamu akan tahu bagaimana.."

Luah mak. Merenung dalam kami mendengar. Jauh memikirkan kata-kata mak. Kami juga bakal bergelar ibu. InshaAllah, jika kami di rezekikan untuk memegang amanah Allah.

Hakikatnya ibu bukanlah mengeluh. Luahan ibu itu dijadikan sebagai bukti bahawa betapa terasa beratnya amanah yang Allah pikulkan buat seorang insan bergelar ibu. Namun, hebatnya seorang ibu, tetap berdiri teguh menggalas amanah yang diberi semata-mata kerana mengharapkan redha Allah.

HADIAH IBU

"Mak belikan buku ni setiap seorang anak mak. Baca sampai habis. Ini amanah emak untuk anak-anak mak. Anggaplah sebagai wasiat daripada emak."

..:: Dari Lubuk Hati Ibu by NorHaffizah Musa ::..

Saya membeleknya sendirian seketika pulang ke rumah pengajian saya. Suka baca bersendirian, itulah karakter kami adik beradik. Semakin lama membelek satu persatu isi. Cuba mengahadamkan isi tersurat dan tersirat dibalik buku " Dari Lubuk Hati Ibu" ini, terasa suatu takungan perasaan yang memenuhi ruang dada. Tidak dapat menahan, beberapa titik air menitis membasahi tulisan indah Ustazah NorHafizah Musa.

Ketika membacanya, berfikir sesuatu. Cuba memahami suara hati emak.

"Mugkin ini suara hati mak sebenarnya..."

' Mak tak bijak berkata-kata, Mak bukanlah seorang ustazah. Mak bukanlah belajar tinggi semacam anak-anak mak, tapi mak mahu sampaikan ini....mak mahu kamu semua tahu mak mahu kamu semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan kita sama-sama bertemu di syurgaNya kelak sebagai satu keluarga yang bahagia.'

Sebelum emak menyampaikan hadiah buku yang bermakna ini kepada kami, emak telah membeli sebuah untuk bacaan mak sendiri. Rupanya emak singgah lagi di kedai buku dan membeli beberapa lagi untuk kami.

Itulah suara hati mak...semuanya tersirat dalam pemberian tersurat " Dari Lubuk Hati Ibu". 

Akhirnya, doa kami pohonkan buat umm (ibu) kesayangan kami...


Wahai yang Maha sempurna, Wahai Allah yang Maha bijaksana dan penuh Rahmah dalam mengatur kehidupan makluk-Mu..

Ya Allah....

Kurniakanlah kami kesempatan dan ruang waktu yang secukupnya untuk meringankan amanah ibu kami dengan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Kurniakanlah kami jiwa yang cekal dan tabah menghadapi onak duri setabahnya dan secekalnya jiwa ibu kami dalam membentuk kami mengenal cintaMu.

Ikatlah dan tautkanlah hati kami dan keturunan kami dengan al-Quran kalam agung dan cinta tulusMu, jangan pisahkan kami dengan mukjizat itu. 

Jangan biarkan hidup dan mati kami tanpa iringan cinta dan sayangMu. Kami tiada daya kecuali denganMu. 

Akhirnya, pertemukanlah kami sekeluarga dalam syurgaMu sebagai keluarga yang dinaungi dengan payung keredhaan dan rahmatMu.

Ameen Ya Rabb.







No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...