Sunday, May 8, 2011

Hadiah Untuk Emak


Hari ini merupakan "Hari Ibu".Seronoknya bila mendengar kegembiraan keluarga yang berada si kampung menyambut "Hari Ibu" pada hari ini. Tergambar kegembiraan yang terpancar diwajah mereka terutama sekali emak. Sudah pasti hari ini adalah hari yang menggembirakan emak. Saya hanya mampu menumpang gembira dari jauh. Terharu mendengar cerita kaklong dalam membuat persiapan untuk membuat persiapan untuk menyambut hari yang menggembirakan. Kaklong dan adik-adik, saya sangat bangga punyai kakak dan adik-adik seperti mereka. Mereka sangat hebat di mata saya. Masing-masing mereka punyai kelebihan yang tersendiri. Mereka memang anak-anak yang sangat baik. Bagaimana mereka dapat menjadi anak yang hebat pada pandangan mata ku. Pastinya kerana Ibu dan Ayah ku yang sememangnya hebat. Merekalah yang mendidik mereka dan juga aku.

HARI IBU

Ada sebahagian berpendapat tidak boleh menyambut "Hari Ibu" kerana ia mengikut adat orang kafir. Namun aku berlainan pula pendapat, bagiku tidak mengapa. Selagi mana kita menyambutnya bukan kerana dengan niat mengikut adat orang kafir. Terkadang kita terlalu cepat meletakkan hukum.

Seperti orang mengatakan, "hari-hari ibu,untuk apa sambut hari ibu.Hari-hari kita perlu ingat ibu.".Ya, memang benar, hari-hari memang kita perlu ingat dan gembirakan ibu. Namun, apa salahnya kita mengambil satu hari untuk benar-benar meraikan jasa ibu kita.

Satu hari ini kita menggembirakan ibu dengan membahagiakannya. Satu hari ini kita buat dia tersenyum sepanjang hari.

Jika ditanya, mampukah kita buat ibu kita tersenyum setiap hari?Adakah kita sudah berjaya menggembirakan dia setiap hari? Adakah kita pasti,kita telah mampu membahagiakan ibu kita setiap hari?

Jika ditanya soalan-soalan itu kepada saya, dengan jujur saya menjawab, Tidak. Saya masih tidak mampu melakukan itu. Saya masih belum mencapai tahap hebat itu. Bukan sahaja setiap hari, bahkan sepanjang hari dalam seharipun saya masih tidak mampu.

HARI ISTIMEWA

Kerana itu, bagi saya, kita patut memilih satu hari pada bila-bila masa untuk membuat mereka tersenyum,gembira dan bahagia sepanjang hari. Tidak semestinya hari ini (hari Ibu). Pada bila-bila masa , at anytime. Kita mulakan dengan sehari, InshaAllah jika kita ikhlas, kita pasti akan dapat membuat ibu tersenyum,gembira dan bahagia selama mana nyawa dikandung badan. InshaAllah, niat ikhlas, Allah pasti permudahkan jalan bagi kita.

KASIH IBU

Saya sangat tersentuh dengan ceramah pagi tadi di radio ikim berkaitan ibu yang disampaikan oleh Ustazah Hamizah.
Sedang khusuk mendengar, tiba-tiba telefon berbunyi.
Satu message daripada adik, "Salam, Mak suruh dengar radio ikim sekarang."

Saya tersenyum seketika. Mujurlah sememangnya saya telah memasang radio di hanset sejak selepas selesai solat subuh.

Tersentuh sekali lagi, kerana diingatkan oleh ibu. Biarpun berjauhan emak tidak pernah lekang mengingatkan anaknya yang sedang menuntut ilmu disini. Terima Kasih emak.

Pengisian yang sangat mendalam. Bila mendengarkan segala pengisian daripada Ustazah Hamizah itu terasa diri ini masih jauh lagi untuk mencapai darjat anak yang solehah. Masih jauh. Saya berfikir sendirian. Mampukah. Sudah tercapaikah. Masih ada masa lagikah bagiku.

Diri bertanyakan kepada diri. Hati menjawab "Masih ada masa, masih belum terlambat selagimana Allah masih beri kesempatan bagimu untuk berubah. Berusahalah untuk menjadi anak yang solehah kerana Allah untuk ibu dan ayahmu." Sebak seketika.

Apabila mengenangkan kembali hari-hari yang telah berlalu ketika saya bersama-sama dengan emak dan ayah alngkah sedihnya.

Namun, semangat kembali berkobar tatkala mengingat pesanan emak, "Orang yang baik disisi Allah, kelak ketika dia di dalam kubur, ketenangannya dan keselesaannya seperti seseorang yang berada dalam gendongan seorang ibu." emak menyambung lagi, "berusahalah untuk menjadi insan yang baik".

DALAM DAKAPAN EMAK

InshaAllah, saya akan berusaha menjadi insan yang baik, kelak saya mahu berada dalam dakapan emak. Saya mahu tenang di alam barzah dalam dakapan emak. Dalam pelukan kasih sayang emak. Saya mendambakan kelak saya terus dapat menikmati keindahan kasih sayang emak.

Emak insan terpenting buat diri ini. Bagaimana jika sampai Allah mengambilnya tika diri masih belum bersedia. Nauzubillahminzalik. Bagaimana juga andai diri ini pula yang dipanggilNya dahulu ketika diri ini masih belum puas menikmati kasih sayang seorang ibu. Nauzubillahminzalik. Harapanku, biarlah tika kami mahu dijemput pulang ke tempat asal, tika itu kami benar-benar sudah bersedia untuk segalanya.Ameen.

Kesempatan masih ada. Gunakan kesempatan yang Allah beri ini dengan sebaik mungkin. Jangan pernah lepaskan kesempatan yang ada ini.

Saya teringat akan kata-kata teman saya ketika saya di Maahad dahulu

"Awak jagalah emak awak sebaiknya. Awak masih ada emak. Sayang emak awak. Hargailah emak awak dengan sebaik-baik penghargaan selagi mana dia masih disisi awak. Saya sudah tiada emak. Tetapi saya memang sudah besedia dan saya memang sudah mampu untuk hadapi kenyataan ini. Gunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya." Farah hanya tersenyum. Dia langsung tidak mengalirkan air mata.

Sedang saya, sudah berlinangan air mata tidak mampu menahan sebak. Apatah lagi setelah dia mendendangkan dengan perlahan sebuah lagu UNIC yang bertajuk "Anak yang soleh".

"Cuba amati lirik lagu ini, saya suka mendengar dan menyanyi lagu ini. Saya pasti akan bersemangat semula dalam berusaha untuk menjadi anak yang solehah."

Kata-katanya masih terngiang-ngiang ditelinga saya.Masih ku ingat pesananmu buatku teman.

Dia sangat tabah. Teman yang amat saya kagumi. Sangat hebat. Benarlah kata-katanya, dia sudah mampu tempuhi ujian itu. Allah masih beri saya kesempatan kerana Allah tahu saya masih belum mampu untuk kehilangan seorang ibu.

HARGAI IBU

InshaAllah, hargailah ibumu. Sungguh dia terlalu banyak berjasa padamu. Cuba koreksi semula sudah setakat mana pengorbanan mu untuk ibu. Cuba muhasabah semula, dimana tahap kasih sayang mu sebagai seorang anak. Adakah sudah cukup untuk membalas kasih sayangnya yang terlalu luas.

Moga diri ini bisa menjadi anak yang menyelamatkan dirimu daripada baham api neraka.
Moga diri ini mampu menjadi anak yang menyebabkan kamu memasuki syurga.
Moga diri ini mampu menjadi anak yang menyebabkan kamu diangkat menjadi ketua bidadari syurga kelak.

Emak,
Andai ditakdirkan Allah,
Anakmu ini yang akan dipanggil dahulu kepangkuanNya,
Maafkanlah kesalahan anakmu ini,
Redhailah segala perjuangan anakmu ini sepanjang kehidupan ini,
Doakanlah anakmu ini agar dapat tidur dengan lena di dalam kubur seperti dalam dakapanmu,

Emak,
Andai ditakdirkan Allah,
Emak yang akan dijemput Allah dahulu,
Ketahuilah emak,
Anakmu ini akan sentiasa meminta keampunan buatmu,
Ketahuilah emak,
Anakmu ini akan meminta kepada Tuhan,

Ya Allah,
Ibuku seorang yang hebat,
Kurniakanlah dia ketenangan,
Berikanlah dia kebahagiaan,
Berikanlah dia kegembiraan,
Lenakanlah tidurnya,
Dengan tenang,aman,damai dan selesa,
Seperti dalam dakapan seorang ibu,
Sehingga dia merasakan seperti dalam dakapan ibunya.

Ameen. Perkenankanlah Ya Rabb.




5 comments:

: said...

Kasih ibu sepanjang hayat.

Ibu, Bapa dan Guru adalah insan yang paling berjaya dlm hidup kita. Rugilah jika kita mengabaikan mereka.Jasa yang tak pernah diungkit dr seorang ibu.

Perindu Kebenaran said...

نعم...اوفق برأيك...انشأالله سأحفظهم بحسن رعاية

: said...
This comment has been removed by the author.
: said...

Bukan hanya ketika itu, masa itu dan hari itu kita perlu sayang pd ibu tetapi senantiasa atau setiap masa, saat, minit, jam, dan hari kita perlu sayang dan kasih padanya . Insyaallah, mudah-mudahan kita bersyukur dengan kurniaannya yg telah beri kita kesempurnaan. Jika tidak ada ibubapa kita,siapalah kita dimuka bumi allah ini.....wallahualam, sy adalah hamba yang lemah dan lagi hina ini yg mengharapkan kebenaran daripadanya. doakan saya perindu kebenaran... tegurlah saya perindu kebenaran....ingatkanlah saya jika sy terlupa......dan jika ada salah silap saya dalam berkata-kata ini.....

Perindu Kebenaran said...

inshaAllah,syukran ala husni intibahuka...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...