Monday, July 21, 2014

Belajar Erti Takdir

Dengan namaMu aku terus melangkah....

========================

Belajar Erti Takdir


Sebelum memulakan coretanku kali ini, inginku memohon maaf untuk semua insan yang mengenali diriku.  Aku manusia lemah. Tidak terlepas dari segala kekurangan. 

Hakikatnya, jika aku mampu, ingin ku bahagiakan semua hati insan yang hadir dalam hidupku. Aku bukanlah manusia istimewa yang mampu menyenangkan hati semua orang, membuat semua hati tersenyum. Itu hakikatnya. Kehendak Allah kadang tidak seperti kehendak kita. Hati ini bukan milikku. Hati ini milikNya. Dia yang berhak meletakkan dan mentadbir hati ini bagaimana kedudukannya. Aku sebagai hamba, hanya menurut kehendak Dia yang lebih mengetahui apa yang baik untuk hambaNya.

Pernah seorang sahabatku mengingatkan.

" Soleha, takdir Allah itu lebih indah daripada apa yang kita jangkakan. "

Ya, aku terpukul dengan ingatannya. Belajar menerima takdir yang disusun indah olehNya. Aku sebagai hamba hanya mampu mentadbir kehidupanku mengikut keterbatasan diriku, tetapi Allah jualah yang metakdirkan kehidupanku mengikut kesempurnaan milikNya.

Siapalah aku untuk menidakkan takdir Allah. Walau sudah sehabis baik cuba ku atur, namun keterbatasan diriku sebagai hamba, tetap tidak mampu membatasi takdir Allah.

Satu kata hikmah yang mengajak diriku berfikir.

" We can't direct the wind but we can adjust our sail "
 " Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita "

Dalam apa jua takdir yang ditimpakannya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.

Belajarlah untuk memahami erti takdir Allah. Kerana takdirnya, tidak ada satu pun maksud yang tidak baik. Aku hamba yang lemah, hanya mampu berusaha untuk terus menjiwai erti sebenar takdir Allah ini.

Semoga Allah permudah buatku.



Hamba Yang Dhaif.
_ Solehah _

Saturday, July 5, 2014

It's about your heart







Bismillah, dengan namaMu aku terus melangkah.

---------------------------------------------------

" Solehah, pernah jatuh cinta? "

Tanya seorang sahabat.

Aku diam seketika. Bukan kerana terkejut dengan soalan itu. Namun, sering kali soalan itu diaju kepadaku.

" Ya, pernah "

Jawabku ringkas.

" Solehah pernah jatuh cinta! dengan siapa? Macam tak pernah nampak bercinta pun. "

" Ya, saya bukan sahaja pernah jatuh cinta, malah pernah kecewa kerana cinta. "

Terlopong mulutnya mendengar statement ku.


It's about Your heart


-------------------------------------------------

ya aku pernah merasai pengalaman itu. Pernah jatuh cinta. Pernah juga dilukai kerana cinta.

Tertarik dengan lirik lagu " Human by Christina Perri "

But I'm only human
And I bleed when I fall down
I'm only human
And I crash and I break down

I'm only human
Just a little human

Aku juga insan lemah yang tak pernah lepas dari segala macam ujian yang dilalui oleh manusia biasa.

Mencintai seseorang yang kita cintai tidak semestinya perlu dipamerkan. Jika belum pasti dan bersedia, tidak perlu pamerkan perasaan cinta pada insan yang dirasakan senang di hati kita.

Cinta itu tidak semestinya bersama. Kasih tidak bererti memiliki.

Pujangga sering mengungkapkan, cinta tidak semestinya bersatu.

Cinta tidak membelenggu tetapi membebaskan!

Cinta itu membebaskan, memaafkan dan memberi. Bukan cinta namanya jika kita ingin membelenggu, berdendam dan ingin mendapatkan sesuatu dari yang dicintai.

Walau perit rasanya, terpaksa membebaskan sesuatu yang dicintai, terpaksa membebaskan suatu perasaan yang tersulam indah di dalam hati, namun itu lah namanya cinta. MEMBEBASKAN!!

Dan cinta itu terkaitnya dengan cinta Allah.

Jika cinta itu membuat kamu semakin jauh denganNya. Bukan cinta namanya itu.

Jika cinta itu membuat kamu semakin dekat dan hampir dengan cintaNya. Itu lah sebenarnya cinta.

Kerana apa saya katakan cinta ini ada hbungannya dengan Allah. Kerana Allah yang mencipta cinta. Dia yang memberi rasa cinta. Mana mungkin kita ketepikan cinta Dia dalam cinta kita sesama manusia.

Janganlah derhaka kepada cinta Allah.
Selesai cinta kita denganNya, maka selesailah cinta kita dengan manusia.

===================================

Berbalik kepada kisah saya yang pernah jatuh cinta dan kecewa kerana cinta.

Ya pengalaman itu pernah dirasai bahkan sering dirasai.

Saya pernah jatuh cinta denganNya.
Dan pernah kecewa kerana cinta yang tak bersandar padaNya. Bila ada sahaja cinta yang tak bersandar kepadaNya berlaku di mata saya, saya akan turut kecewa.

Kerana saya juga ingin mereka merasai indahnya cinta bila semuanya kerana Dia.
Satu ketenangan yang luar biasa.

Jika kamu sedih dengan cinta itu, Kembali tanyakan pada hatimu.
It's about your heart !!

=====================================

By Hamba Yang Dhaif
_Solehah_



Saturday, June 14, 2014

Just Me





Bismillah, dengan namaNya aku terus melangkah.

9 Jun 1991

Tarikh keramat yang paling bermakna dalam hidupku.

Tarikh dimana seorang insan lemah dilahirkan oleh seorang insan hebat. Ibuku seorang insan hebat yang mampu melahirkan bahkan mendidik dengan didikan agama yang baik untuk 4 permata hatinya.

Dan kini insan lemah itu sudah menjangkau usia 23 tahun. Pelbagai mehnah kehidupan yang dilaluinya sepanjang 23 tahun pinjaman kehidupan.

9 Jun 2014

Sekali lagi mencatat coretan hidup yang paling penting buat insan lemah ini. Tanpa ada perancangan. Dia dikurniakan rezeki melangkah ke alam baru. Dunia pekerjaan yang lebih mencabar.

Ya Allah.

Aku hanya mengatur langkahku dengan keterbatasan diriku sebagai hambaMu. Namun Kau mengatur langkahku dengan kesempurnaanMu. Tiada nikmat paling patut aku hargai melainkan rasa syukurku padaMu.

Dia yang mengatur langkah ini. Walau kaki lemah pada awalnya ingin meneruskan langkah. Namun, Dia hadiahkan kekuatan tanpa diduga.

Hebat kasih sayang Allah pada hambaNya.
Tinggal lagi kita, mahu bersyukur ataupun tidak.

Dia hadiahkan kita dengan pelbagai bentuk hadiah. Kita pula bagaimana?

Dalam pada diri ini melangkah satu persatu anak tangga. Di sepanjang tingkatan tangga yang ku lalui. Aku dipertemukan dengan pelbagai jenis cerita insan.

Mereka mendapatkan ku untuk mendengar luahan atas kepayahan hidup mereka. Sehingga aku sendiri bertanya padaNya.

" Wahai Allah,

Sedang Kau tahu bahawa diriku punya kepayahan hidup yang masih belum selesai, mengapa tetap Kau hadirkan insan-insan ini untukku. Apa sebenarnya didikan yang ingin Kau hadiahkan buatku. "

Seorang mengadu masalah kehidupannya yang terumbang-ambing. Tak pernah merasa bahagia. Hanya derita.

Seorang mengadu tentang masalah percintaan yang dikecewakan.

Seorang mengadu tentang masalah kehendak ibu bapa yang perlu dituruti walau hati tidak berkehendak.

Perananku..
Hanya menjadi pendengar yang setia mendengar luahan mereka.
Berkongsi permata-permata kata buat penyejuk dan pendamai jiwa.

Setelah lewat malam..
Memenungkan diri sendiri..

Sambil memandang langit gelap..
Berfikir...

Allah memang sengaja hadirkan buatku insan-insan istimewa ini.
Bukan untuk memujuk hati mereka semata...
Bahkan untuk memujuk dan mendamaikan hatiku sendiri.

Setiap kali mendengar luahan hati mereka.
Setiap kali itu juga, aku kembali mengingati diriku sendiri.

Setiap kali aku berkongsi penawar hati buat mereka.
Setiap kali itu juga, aku campakkan penawar itu buat diriku sendiri.

Hakikat kehidupan
Memang payah.
Payah untuk memahami rentak hidup yang pelbagai.

Namun,
Dengan menyelami rentak hidup insan lain.
Aku mampu memahami mesej sebenar yang ingin Dia layangkan buat diriku.


- hamba Dhaif-
     Solehah

Thursday, January 23, 2014

Fiqh di hati.

Assalamualaikum. Moga semua dalam redha Allah. 

Pantas masa berlalu, kini aku telah pun berada di penghujung pintu terakhir sebelum melangkah ke pintu baru di hadapan sana. Segala pengalaman sepanjang degree telah dibuku kemas untuk diguna pakai dalam mengharungi laluan seterusnya yang masih tidak pasti bagaimana rupa bentuknya, warnanya. Apa yang pasti, laluan seterusnya semakin mencabar dari apa yang pernah aku lalui.

Blog ini kesunyian tanpa entry yang tak diisi lama disebabkan kekangan masa yang sangat menghimpit. Alhamdulillah, beberapa bulan yang berkemungkinan besarnya, ruang dan waktu boleh diluangkan untuk meraikan hobi diri sendiri sehingga masih lagi menyimpan hasrat untuk menjadi seorang penulis yang hanya boleh menjadi mimpi-mimpi indah sahaja buat masa ini. Moga Allah bukakan jalan ke arah itu. Ameen.

Entry kali ini, sebagai pembuka bicara setelah sekian lama menyepi. Naluri terpanggil untuk menceritakan tentang sesuatu yang diri ini sangat cintai iaitu ilmu Fiqh. 

Setelah 4 tahun mendalami ilmu Fiqh, ternyata ilmu Fiqh ini adalah suatu ilmu yang sangat dekat dan hampir dengan manusia dalam apa jua keadaan dan situasi. Segala tindak tanduk kita seolah diawasi dengan ilmu Fiqh. Ilmu ini ternyata hidup dimana-mana dan sentiasa berkembang mengikut zaman. 

Cuba kita lihat kembali, bagaimana Rasulullah s.a.w yang mula memperkenalkan Islam dalam masyarakat Islam di Mekkah. Di Mekkah, Rasulullah banyak menekankan soal akidah umat. Manakala ilmu Fiqh ini terus berkembang di Madinah, bilamana Rasulullah mula lebih menekankan soal ibadat dan sebagainya. Dan ilmu Fiqh ini terus berkembang dari satu zaman ke satu zaman sehingga zaman kini. Ilmu ini menjadi satu perkara yang sangat penting malah dekat dengan kehidupan harian dalam setiap manusia yang bergelar Muslim. Tanpa Fiqh seorang Muslim itu tidak akan mampu berdiri dengan tegak, tidak mampu berjalan dengan lurus bahkan tidak akan mampu untuk hidup sebagai Muslim yang sebenar.

Sekadar nak menyampaikan rasa syukur padaNya diberi kesempatan untuk mendalami dan menghayati indahnya ilmu ini. Teringat nostalgia dahulu ketika ditawarkan program Fiqh Dan Fatwa. Ramai sahabat yang bertanya.

" Solehah dapat course apa?"

" Fiqh Dan Fatwa "

" Oo. Hemm. Tak pernah dengar lagi course tu. Macam pelik je bunyi nya. hehe"

=========================

" Solehah ambil course Fiqh Fatwa ya? "

" A'a "

" Oo. Susah tu. Kenapa tak ambil macam kawan-kawan yang lain. Quran Sunnah ke."



==========================

" Solehah kenapa ambil Fiqh Fatwa?"

" Kenapa ya?"

" Nanti nak kerja apa? kenapa tak ambil pendidikan ke? masuk maktab ke? senang, confirm-confirm dah ada kerja, jadi guru."

===========================

" Course Fiqh Fatwa? "

" A'a, saya ambil course tu."

" Nanti boleh dapat kerja ke ambil course tu? Boleh berkembang ke? "

==============================


Kalau mereka terlalu pelik, risau dengan course yang saya ambil. Saya lagi pelik dan risau dengan 'kepelikkan' mereka. 

Waktu itu seolah saya bersendirian membuka mata kecil saya untuk melihat betapa luasnya ilmu ini. Ketika itu tiada siapa disisi yang boleh duduk bersama melihat apa yang terbentang luas di hadapan saya. Mujur Ayah, Mak, Kakak dan adik-adik tidak putus-putus memberi semangat dari awal untuk saya teruskan perjuangan saya dengan apa yang saya pegang dan percaya.

Bukan soal kerja apa yang saya fikirkan. Bukan soal susah atau senang yang saya fikirkan. Tetapi soal apa yang saya boleh sumbangkan setelah saya mendalami ilmu ini. Itu yang saya fikirkan. Saya fikir dengan mendalami ilmu ini, saya mampu untuk menyumbang pada yang lain walau sedikit. 

Jika saya ambil course matematik sebagai contoh, saya mungkin tidak akan mampu untuk menyumbang apa-apa pada akhirnya, kerana saya tahu, matematik bukanlah bidang saya, bukan kemahiran saya.

Jika saya ambil course perubatan sebagai contoh, saya juga tidak akan mampu menyumbang apa-apa pada akhirnya, kerana itu bukanlah kemahiran saya.

Fiqh juga bukan kemahiran saya, tetapi Ilmu Fiqh adalah minat saya. Dari situ saya cuba mengembangkan minat saya menjadi kemahiran dan pada akhirnya saya sedar dimana sepatutnya saya berada. 

Tidak menyangka, di dalam Fiqh saya dapat mendalami ilmu science. Saya belajar sains permakanan, melihat tentang halal haram satu-satu produk makanan,perubatan,kosmetik dari pandangan ilmu sains dan ilmu Fiqh. 

Saya juga diajar untuk mendalami ilmu matematik. Saya belajar tentang faraidh, pembahagian harta pusaka yang perlukan jalan kira-kira yang sangat complicated.

Ilmu perubatan dari sudut pandang sains dan fiqh juga ada.

Ketika itu, kesedaran saya terhadap luasnya ilmu Fiqh ini dibuka luas olehNya. Saya melihat kebesaran Allah yang menciptakan ilmu yang sangat hebat ini. Namun, tika itu juga ada satu perasaan takut untuk membawa ilmu yang hebat ini untuk disumbangkan pada masyarakat yang ketandusan akan ilmu ini kerana merasa diri yang terlalu kecil dan ilmu yang masih perlu dijaga dengan berhati-hati seperti menjaga bayi yang baru dilahirkan.

Saya bukan lagi seorang yang mahir dan tidak mungkin menjadi seorang yang mahir dalam ilmu ini. Tetapi saya sedar, saya ada 'minat' pada ilmu ini. Minat yang sangat mendalam. Moga-moga Allah capaikan hasrat saya untuk membuka satu madrasah Fiqh. Jika bukan di dunia tempatnya, moga syurgalah tempatnya.

Fiqh itu sentiasa hidup selari dengan kehidupan kita mengikut masa dan tempat. Apa yang paling hampir dengan kita? Ianya Fiqh.

Sudah mula merinduinya....Moga Allah izinkan lagi untuk bertemu dengannya. Fiqh dihati.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...