Sunday, June 5, 2011

Andai diberi pilihan





Jika diberi dua pilihan:
1) Jalan lurus penuh dengan kebahagiaan namun ada cabaran yang menanti dihadapan.

2) Jalan bengkak-bengkok penuh dengan cabaran tetapi ada kebahagiaan menanti dihadapan.

Yang mana satu menjadi pilihan kita. Jalan pertama mahupun yang kedua.

Ramai yang berpendapat dan berkeinginan inginkan jalan yang pertama
.

Tidak kurang juga yang memilih jalan kedua sebagai pilihan.

Namun bagi diri saya, saya tidak akan dapat memilih mana-mana jua jalan. Kerana tika ini sedang saya jalani kedua-dua jalan ini. Terkadang jalan yang sedang dilalui terasa lurus sahaja penuh dengan kebahagiaan namun setelah sampai di pengakhirannya cabaran pula menanti. Terkadang jalan yang dilalui terasa begitu sukar,sangat berliku-liku, namun setelah bertemu di penghujungnya terasa akan kebahagiaan dan kenikmatan yang sekian kalinya telah lama diharapkan.
Hakikatnya kita tidak akan terlepas melalui kedua-dua jalan itu. Antara sedar atau tidak sahaja. Kita sebenarnya tiada pilihan, melainkan jalani sahaja jalan-jalan kehidupan yang telah Allah sediakanuntuk kita dengan selamat.

Di sinilah Allah menguji akan ikrar keimanan kita terhadap qada' dan qadar Allah. Allah menguji kita sehinggalah Dia benar-benar mengenali siapa yang benar-benar beriman kepadaNya.




Firman Allah yang bermaksud:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ," Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"
(Al-Ankabut;29;2)

"mengapa jalan hidup ku begini, penuh dengan kesengsaraan,kesedihan dan cabaran. Sedang insan lain dapat kebahagiaan yang tidak terhingga. Hidup mereka bagai tiada cabaran?"

Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran sesetengah manusia. Hanya yang benar-benar kuat dan yakin sahaja imannya terhadap sang Pencipta tidak akan terlintas persoalan ini. Jika terlintas sekalipun pastinya mereka akan tahu jawapannya.

Bagi mereka yang masih tidak jelas akan jawapan bagi persoalan di atas, moga jawapan dari sudut saya sendiri ini dapat membantu memperjelaskan jawapan bagi persoalan dia atas yang acap kali berlegar-legar di benak fikiran.

Bukan kerana Allah tidak adil, justeru kerana Allah itu adillah, Allah berikan jalan hidup manusia sesuai dengan kemampuan manusia itu sendiri. Jika kita telusuri akan makna "adil" itu sendiri yang bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya bukanlah yang dimaksudkan dengan "adil" itu sesuatu yang diberi sama rata.

Kerana kesalahfahaman sesetengah manusia terhadap maksud "adil" itu sendiri telah menyebabkan mereka juga salahfaham dengan konsep qada' dan qadar.

Jika kita mengerti sebenar-benarnya akan apa yang Allah aturkan untuk kita ini adalah sesuatu yang tidaklah sia-sia, pastinya kita akan menerima jalan hidup kita dengan berlapang dada. Tiada lagi suara-suara keluhan,ungutan terhadap apa yang dijalaninya sekarang.

Akan dijalaninya dengan penuh penghayatan kerana yakin dengan janji-janji Allah. Akan dijalaninya kehidupan ini dengan penuh teliti kerana tidak mahu terlepas biarpun satu daripada benih-benih hikmah yang terselit di dalam batu-batu perjalanan.

Setelah di hayati akan perjalanan kehidupannya dengan mengambil tiap-tiap hikmah yang terselit, akan di bawanya hikmah-hikmah itu dengan penuh kesabaran,pengorbanan dan keikhlasan sebagai penguatnya hinggalah sampai ke penghujung perjalannya.

Andai diri ini diberi pilihan, pasti diri ini akan memilih jalan yang mudah sehinggalah sampai ke penghujungnya menemukan Pencinta hakiki. Pasti diri ini mahu terus sahaja berjumpa dengan kebahagiaan yang hakiki tanpa melalui jalan-jalan yang sukar.

Namun, inilah takdir Allah untukku. Menyedari hakikat akan diri ini tiada pilihan lain melainkan jalani sahaja di atas jalan yang telah tersedia ini dengan selamat. Kaki tetap terus melangkah. Langkah ini memang tidak akan pernah ada kata henti sehinggalah ke penghujungnya.

Tanpa jalan-jalan yang tersedia ini pasti tidak akan ku merasai akan erti kehidupan yang sebenar. Dengan jalan inilah, diri ini mampu mentafsirkan akan hakikat erti kehidupan.

Kita memang tiada hak untuk memilih jalan kehidupan yang telah Allah aturkan untuk kita. Tetapi kita masih ada hak untuk memilih lorong-lorong di sepanjang kehidupan ini.

Terpulanglah kepada kita, mahu memilih lorong yang terang mahupun lorong yang gelap. Namun ketahuilah jika pada awalnya kita telah memilih lorong yang terang masih belum tentu lagi diakhirnya kita akan terus memilih lorong yang terang. Barangkali kita tersesat seketika kerana terlalu bahagia dilorong yang terang sehingga kita tidak perasan kita termasuk dilorong yang gelap apabila sudah semakin sampai ke penghujung perjalanan.

Dan ketahuilah juga, andai pada awalnya kita telah memilih lorong yang gelap, maka juga belum tentu lagi kita tiada harapan untuk melalui lorong yang terang. Jika kita segera tersedar lorong gelap yang kita lalui pada awalnya itu sememangya terlalu gelap malah semakin menggelapkan jalan kehidupan kita, segeralah juga mencari lorong-lorong yang masih terang bercahaya. Moga di pengakhirnya kita akan menemui jalan yang benar-benar dihiasi dengan cahaya-cahaya yang indah.

Pada hakikatnya, Allah masih berikan kita peluang untuk memilih. Pilihlah lorong-lorong kehidupan dengan sebaiknya. Jangan kita tersalah membuat pilihan. Sebaik-baik pilihan adalah pilihan yang dari awalnya bercahaya hinggalah di penghujungya tetap bercahaya.

Inilah Jalanku yang telah di sediakan olehNya, tetap ku jalaninya.
Namun tetapkan jua buat ku, agar pilihan lorong yang telah ku pilih ini adalah lorong yang benar-benar bercahaya hinggalah sampai ke penghujungya. Moga cahayanya tetap menyala dan tidak akan pernah terpadam biarpun malap sesekali.

Hargailah jalan yang telah Allah hadiahkan buat kita. Pilihlah lorong-lorong yang bercahaya selagi kita masih ada masa untuk memilih.






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...