Thursday, April 28, 2011

Mereka layak dipuji ~Ibu & Ayah~



Hati seringkali tersentuh tatkala melihat dan mengenangkan pengorbanan ibu dan ayah untuk anak-anaknya. Merintih menangis hati. Sebak di dada tidak mampu ku tahan lagi. Mengalir air mata membasahi pipi tatkala aku bersendirian mengenangkan pengorbanan mereka dalam membesar dan menjaga amanah mereka. Sungguh mereka sangat berusaha dalam menjaga amanah mereka.

Rinduku pada mereka tidak tertahan lagi. Jika mengikut kehendak hati,ku ingin selalu bersama mereka.Selalu disamping mereka. Membahagiakan mereka. Bergurau senda dengan mereka.Melihat senyuman manis yang terukir di wajah tenang mereka. Sungguh menenangkan. Sayunya ketenangan wajah mereka.

Mereka memang layak dipuji.Mereka umpama permata kehidupan yang sukar untuk dicari ganti. Biar apa pun orang berkata tentang mereka, ku tidak peduli. Hakikatnya anak-anaknya yang lebih mengenali mereka.

Mereka mengajar kami erti ketabahan hidup. Mereka mendidik kami menjadi insan yang matang dalam berfikir. Mereka mengajar kami apa itu erti kesabaran yang sebenar. Dan yang paling penting, mereka mengajar kami menegenal Tuhan yang Esa.




Ibu.
Namun lebih ku mesra dengan panggilan emak.
Dialah insan yang terlalu banyak mengajar diri ini mengenal makna kehidupan yang sebenar. Emak tidak banyak mengajar kami erti kehidupan secara teori. Kami belajar semua itu melalui praktikaliti yang emak sering praktikan. Tika emak diuji Allah, emaklah insan yang paling tenang. Emaklah insan yang paling kuat. Kesabaran dan ketabahan emak terpancar dalam ketenangannya. Tika emak digertak dan dikejutkan dengan khabar yang perit lagi menyakitkan. Emak tidak mudah melatah. Emak tetap menempuhinya dalam kepayahan, keperitan dan kesedihan. Fikiran emak terus bergerak mencari solusi terbaik.

Mengalah,putus asa....
Tidak pernah ku lihat itu dalam diri emak. Emak tidak pernah mengalah,berputus as
a jua tidak sama sekali. Ya Allah ku amat kagumi insan ini, dia seorang yang hebat dan kuat rohaninya.

Tika kami lemah, dialah penguat kami. Tika kami sedih, dialah penghibur kami. Tika kami buntu, dialah pembantu penyelesaian kami. Tika kami lupa dan lalai, dia pengingat kami. Tika kami diselubungi kemarahan, dia penyejuk kami. Tika kami kosong dengan pengisian rohani, dialah yang akan mengisi ilmu buat kami.






Ayah.
Memang itulah panggilan mesra buatnya.Lumrah, jika hendak dibandingkan antara ayah dan emak, siapa yang suka mempamerkan kasih-sayangnya terhadap anak-anaknya, pastinya emaklah pemenangnya. Namun, biarpun begitu, dalam diam ayah, ku terlihat akan kasih-sayangnya yang amat mendalam terhadap anak-anaknya yang tidak mampu diluahkan dengan lisan. Tidak perlu dengan lisan untuk meluahkannya. Tingkah lakumu ayah telah mampu mempamerkan kasih-sayang mu yang amat mendalam terhadap kami anak-anakmu.

Ayah.
Memang layak jua dipuji.Biar apa pun insan lain berkata tentangnya. Hakikatnya, anak-anak mereka lebih mengenali siapa ayahnya. Dialah jua penyebab aku mengenali erti hidup yang sebenar. Itulah jasanya yang terbesar buat kami. Dialah jua penyebab aku mengenali cinta Allah yang hakiki. Dialah penyebab aku tahu dunia ini hanya sementara dan tiada milik kita. Dialah jua penyebab aku mencintai lughatul jannah. Dialah jua penyebab aku mencintai Islam.

Ayah.
Pengorbananmu buat kami anak-anakmu membuatkan kami bersyukur punyai ayah seperti kamu. Merintih hati,berlinang air mata tatkala mengenangkan pengorbananmu buat kami. Layangan doa dari anak-anakmu buatmu tidak pernah putus. Kami sentiasa mengharap ayah akan menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar soleh sepertimana jua harapanmu pada kami agar bisa menjadi anak-anak dan hamba Allah yang soleh.

Tika kami menginginkan sesuatu, ayah tetap berusaha untuk mendapatkannya buat kami. Tika kami bersedih, ayah jua insan yang tidak pernah berhenti memikirkan solusi untuk menghiburkan kami. Walau ayah dalam keadaan susah, ayah tetap sembunyikan kesusahan ayah. Walau ayah dalam kesakitan, ayah tetap sembunyikan kesakitan ayah. Walau ayah disakiti, ayah tempuhinya sendirian tanpa kami ketahui.

Ayah selalu senyum walau dalam keadaan berduka. Ayah tetap tersenyum walau terkadang anak-anak menyakiti dan mengguris hati ayah. Ayah tidak pernah menyisihkan kami tatkala kami dalam keadaan buntu mencari penyelesaian kerana kesilapan yang kami sendiri lakukan. Pengalaman hidup ayah mengajar kami. Banyak ibrah yang kami peroleh.









Ya Allah.
Rahmatilah kedua insan ini.Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami. Perteguhkanlah iman mereka. Sungguh kami bersaksi mereka telah berusaha menjalankan amanah mereka semampu mereka. Tuhan,kerana merekalah pahala kami mampu digandakan. Hanya melihat wajah mereka kami mendapat pahala. Mereka terlalu banyak berkorban untuk kami. Mereka bagaikan permata berharga buat kami. Kami akan menjadi insan yang paling rugi jika sampai kami tidak mampu menghargai mereka dengan sebaik-baik penghargaan. Mereka terlalu banyak mengajar kami. Kurniakanlah mereka tempat yang selayaknya disisiMu. Hiasilah jiwa mereka dengan keindahan sabar dan tawakal dalam merasai kenikmatan iman bagi menuju menjadi insan muttaqin.Sungguh kami amat menyayangi kedua insan ini.









No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...