Thursday, April 28, 2011

Mereka layak dipuji ~Ibu & Ayah~



Hati seringkali tersentuh tatkala melihat dan mengenangkan pengorbanan ibu dan ayah untuk anak-anaknya. Merintih menangis hati. Sebak di dada tidak mampu ku tahan lagi. Mengalir air mata membasahi pipi tatkala aku bersendirian mengenangkan pengorbanan mereka dalam membesar dan menjaga amanah mereka. Sungguh mereka sangat berusaha dalam menjaga amanah mereka.

Rinduku pada mereka tidak tertahan lagi. Jika mengikut kehendak hati,ku ingin selalu bersama mereka.Selalu disamping mereka. Membahagiakan mereka. Bergurau senda dengan mereka.Melihat senyuman manis yang terukir di wajah tenang mereka. Sungguh menenangkan. Sayunya ketenangan wajah mereka.

Mereka memang layak dipuji.Mereka umpama permata kehidupan yang sukar untuk dicari ganti. Biar apa pun orang berkata tentang mereka, ku tidak peduli. Hakikatnya anak-anaknya yang lebih mengenali mereka.

Mereka mengajar kami erti ketabahan hidup. Mereka mendidik kami menjadi insan yang matang dalam berfikir. Mereka mengajar kami apa itu erti kesabaran yang sebenar. Dan yang paling penting, mereka mengajar kami menegenal Tuhan yang Esa.




Ibu.
Namun lebih ku mesra dengan panggilan emak.
Dialah insan yang terlalu banyak mengajar diri ini mengenal makna kehidupan yang sebenar. Emak tidak banyak mengajar kami erti kehidupan secara teori. Kami belajar semua itu melalui praktikaliti yang emak sering praktikan. Tika emak diuji Allah, emaklah insan yang paling tenang. Emaklah insan yang paling kuat. Kesabaran dan ketabahan emak terpancar dalam ketenangannya. Tika emak digertak dan dikejutkan dengan khabar yang perit lagi menyakitkan. Emak tidak mudah melatah. Emak tetap menempuhinya dalam kepayahan, keperitan dan kesedihan. Fikiran emak terus bergerak mencari solusi terbaik.

Mengalah,putus asa....
Tidak pernah ku lihat itu dalam diri emak. Emak tidak pernah mengalah,berputus as
a jua tidak sama sekali. Ya Allah ku amat kagumi insan ini, dia seorang yang hebat dan kuat rohaninya.

Tika kami lemah, dialah penguat kami. Tika kami sedih, dialah penghibur kami. Tika kami buntu, dialah pembantu penyelesaian kami. Tika kami lupa dan lalai, dia pengingat kami. Tika kami diselubungi kemarahan, dia penyejuk kami. Tika kami kosong dengan pengisian rohani, dialah yang akan mengisi ilmu buat kami.






Ayah.
Memang itulah panggilan mesra buatnya.Lumrah, jika hendak dibandingkan antara ayah dan emak, siapa yang suka mempamerkan kasih-sayangnya terhadap anak-anaknya, pastinya emaklah pemenangnya. Namun, biarpun begitu, dalam diam ayah, ku terlihat akan kasih-sayangnya yang amat mendalam terhadap anak-anaknya yang tidak mampu diluahkan dengan lisan. Tidak perlu dengan lisan untuk meluahkannya. Tingkah lakumu ayah telah mampu mempamerkan kasih-sayang mu yang amat mendalam terhadap kami anak-anakmu.

Ayah.
Memang layak jua dipuji.Biar apa pun insan lain berkata tentangnya. Hakikatnya, anak-anak mereka lebih mengenali siapa ayahnya. Dialah jua penyebab aku mengenali erti hidup yang sebenar. Itulah jasanya yang terbesar buat kami. Dialah jua penyebab aku mengenali cinta Allah yang hakiki. Dialah penyebab aku tahu dunia ini hanya sementara dan tiada milik kita. Dialah jua penyebab aku mencintai lughatul jannah. Dialah jua penyebab aku mencintai Islam.

Ayah.
Pengorbananmu buat kami anak-anakmu membuatkan kami bersyukur punyai ayah seperti kamu. Merintih hati,berlinang air mata tatkala mengenangkan pengorbananmu buat kami. Layangan doa dari anak-anakmu buatmu tidak pernah putus. Kami sentiasa mengharap ayah akan menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar soleh sepertimana jua harapanmu pada kami agar bisa menjadi anak-anak dan hamba Allah yang soleh.

Tika kami menginginkan sesuatu, ayah tetap berusaha untuk mendapatkannya buat kami. Tika kami bersedih, ayah jua insan yang tidak pernah berhenti memikirkan solusi untuk menghiburkan kami. Walau ayah dalam keadaan susah, ayah tetap sembunyikan kesusahan ayah. Walau ayah dalam kesakitan, ayah tetap sembunyikan kesakitan ayah. Walau ayah disakiti, ayah tempuhinya sendirian tanpa kami ketahui.

Ayah selalu senyum walau dalam keadaan berduka. Ayah tetap tersenyum walau terkadang anak-anak menyakiti dan mengguris hati ayah. Ayah tidak pernah menyisihkan kami tatkala kami dalam keadaan buntu mencari penyelesaian kerana kesilapan yang kami sendiri lakukan. Pengalaman hidup ayah mengajar kami. Banyak ibrah yang kami peroleh.









Ya Allah.
Rahmatilah kedua insan ini.Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami. Perteguhkanlah iman mereka. Sungguh kami bersaksi mereka telah berusaha menjalankan amanah mereka semampu mereka. Tuhan,kerana merekalah pahala kami mampu digandakan. Hanya melihat wajah mereka kami mendapat pahala. Mereka terlalu banyak berkorban untuk kami. Mereka bagaikan permata berharga buat kami. Kami akan menjadi insan yang paling rugi jika sampai kami tidak mampu menghargai mereka dengan sebaik-baik penghargaan. Mereka terlalu banyak mengajar kami. Kurniakanlah mereka tempat yang selayaknya disisiMu. Hiasilah jiwa mereka dengan keindahan sabar dan tawakal dalam merasai kenikmatan iman bagi menuju menjadi insan muttaqin.Sungguh kami amat menyayangi kedua insan ini.









Saturday, April 2, 2011

Aturlah bicaramu sebelum kamu menuturkannya


Manis bicara indah tutur kata tak seindah rupa pengertiannya,
Lembutnya lidah mengata nista,
Lidah yang tiada bertulang mengadu domba,
Serta memfitnah sesama saudara.

Kata ibarat pedang yang tajamnya bisa membunuh lawan,
kata-kata yang berhikmah menyedarkan kita,
Kata madah pujangga bisa menjadi pedoman manusia,
Jagalah bahasa kata kita jangan disalah guna.

Terlajak perahu masih boleh diundur lagi,
Terlajak kata buruk padahnya.

~nukilan~(in-Team)
.......................................................................................................................................................................

Terkadang kita tidak perasan akan bahayanya lidah.Tatkala kita melontarkan bicara kepada saudara kita yang lain.Apabila kita dalam keadaan marah,benci,menyampah semakin membusuklah perkataan-perkataan yang terhambur keluar dari bibir kita.Kita langsung tidak memikirkan akan amanah Allah ini (lidah) yang sepatutnya dijaga dengan sebaik-baik penjagaan.Layakkah kita sebagai pemegang amanah.Koreksi diri.

Antara nikmat yang terbesar selepas nikmat Iman dan nikmat Islam, sedarkah kita ada satu nikmat yang besar jua yang Allah kurniakan untuk hamba-hambaNya iaitu nikmat berbicara dengan lidah.

Allah berfirman:

" Bukankah Kami telah beri padanya sepasang mata.Dan lidah dan sepasang bibir? "
(Al-Balad:8-9)


Mengapa lidah tidak mampu dikawal oleh pemegang amanhnya (manusia) terutamanya dalam keadaan marah,benci merasuk fikiran dan iman di hati?

Apabila nafsu yang mengawal iman, maka semakin lemahlah iman itu.
Maka iman kita jua tidak akan mampu mengawal tindak- tanduk seluruh anggota yang diamanahkan Allah untuk kita terutamanya lidah.

Aturlah bicaramu sebelum kamu menuturkannya.Sungguh setiap apa yang terkeluar dari mulutmu itu semuanya akan dipertanggungjawabkan. Semakin banyak bicaramu yang sia-sia lagi menyakitkan, semakin teballah catatan dalam buku amalan di sebelah kirimu.Semakin banyak bicaramu yang bermanfaat lagi menyenangkan, semakin bertambah jualah catatan di dalam buku kanan amalanmu.

Ketahuilah,ingatlah,sedarlah...
Kita tidak akan terlepas dari persoalan-persoalan yang bakal di soal Allah atas amanah-amanah yang diberiNya untuk kita.

Cara mengendalikan lidah:
  • Pastikan sesuatu yang hendak dibicarakan hendaklah mendatangkan manfaat biarpun sedikit.
*Yang dinamakan manfaat tidak semestinya pembicaraan dalam bentuk ilmiyah sahaja.Ianya boleh datang dalam pelbagai bentuk.

Meskipun pembicaraan kita itu bukan dalam bentuk ilmiyah ,kita boleh jadikan ianya sebagai suatu pembicaraan yang bermanfaat apabila kita menyampaikannya dalam bentuk yang menyenangkan orang yang berbicara dengan kita.Kita sudah dapat melahirkan satu manfaat iaitu keterikatan ukhuwah kita dengannya semakin mesra.Itu juga merupakan satu manfaat biarpun pembicaraan kita bukan dalam sudut ilmiyah.

  • Tidak salah berjenaka dalam berbicara, Rasulullah s.a.w juga pernah berjenaka dalam berbicara.Namun mestilah jenaka yang bersederhana.Tidak melampau.Jangan sampai jenaka itu membuatkan orang lain berkecil hati.Sekadar untuk menghiburkan dan menggembirakan hatinya.
  • Jika ingin menegur kesalahan insan lain, tegurlah dengan berhikmah.Biar dia tersentuh kerana sedar akan kesalahannya,jangan sampai dia tersentuh kerana bicara kita yang kurang berhikmah.
  • Selepas berbicara, koreksi diri. Adakah bicara tadi penuh dengan elemen-elemen diatas. Jika tidak, muhasabah diri dan berusahalah untuk terus mengatur bicaramu.
  • Aturlah bicaramu sebelum kamu menuturkannya.Sungguh,tiap yang terkeluar dari bibirmu semuanya adalah apa-apa jua yang berada dalam hati dan fikiranmu.Ketiga-tiga anggota ini sangat bersangkutan antara satu sama lain.
Apa yang bermain di hati akan menuju ke akal (otak) dan apa jua di akal akan dizahirkan melalui lisan (lidah).Setelah dizahirkan melalui lidah, otak akan berfikir semula tentang bicara yang dituturkan dan akan kembali semula kepada hati.Itu sekiranya si pemegang amanah itu kembalikan semula ke akalnya semula untuk berfikir akan sampailah ke hati semula untuk bermuhasabah.Namun sekiranya tidak dikembalikan semula ke akal akan bicaranya yang telah dituturkannya itu, maka tidak akan sampai jualah ke hati semula untuk dihitung semula.

Kita adalah manusia biasa.Kita pastinya tidak akan mampu mengawal seluruh bicara kita.Oleh itu pintalah pada Tuan empunya lidah (Allah) untuk membantu memberi perlindungan buat kita dalam berusaha menjaga dan mengendalikan amanah yang berat ini iaitu lidah.

Ayoh!!!tunaikan hak lidah dengan amanah...




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...