Dengan namaMu aku terus melangkah....
========================
Belajar Erti Takdir |
Sebelum memulakan coretanku kali ini, inginku memohon maaf untuk semua insan yang mengenali diriku. Aku manusia lemah. Tidak terlepas dari segala kekurangan.
Hakikatnya, jika aku mampu, ingin ku bahagiakan semua hati insan yang hadir dalam hidupku. Aku bukanlah manusia istimewa yang mampu menyenangkan hati semua orang, membuat semua hati tersenyum. Itu hakikatnya. Kehendak Allah kadang tidak seperti kehendak kita. Hati ini bukan milikku. Hati ini milikNya. Dia yang berhak meletakkan dan mentadbir hati ini bagaimana kedudukannya. Aku sebagai hamba, hanya menurut kehendak Dia yang lebih mengetahui apa yang baik untuk hambaNya.
Pernah seorang sahabatku mengingatkan.
" Soleha, takdir Allah itu lebih indah daripada apa yang kita jangkakan. "
Ya, aku terpukul dengan ingatannya. Belajar menerima takdir yang disusun indah olehNya. Aku sebagai hamba hanya mampu mentadbir kehidupanku mengikut keterbatasan diriku, tetapi Allah jualah yang metakdirkan kehidupanku mengikut kesempurnaan milikNya.
Siapalah aku untuk menidakkan takdir Allah. Walau sudah sehabis baik cuba ku atur, namun keterbatasan diriku sebagai hamba, tetap tidak mampu membatasi takdir Allah.
Satu kata hikmah yang mengajak diriku berfikir.
" We can't direct the wind but we can adjust our sail "
" Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita "
Dalam apa jua takdir yang ditimpakannya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.
Belajarlah untuk memahami erti takdir Allah. Kerana takdirnya, tidak ada satu pun maksud yang tidak baik. Aku hamba yang lemah, hanya mampu berusaha untuk terus menjiwai erti sebenar takdir Allah ini.
Semoga Allah permudah buatku.
Hamba Yang Dhaif.
_ Solehah _